Wednesday 23 October 2013

NASIB GOLONGAN PERTENGAHAN

BR1M, bantuan perumahan, bantuan kewangan daripada Yayasan Kebajikan Negara,Pelbagai bentuk program dan bantuan sering diberikan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Memang benar, golongan miskin harus dibantu namun bagaimana dengan nasib golongan pertengahan?

BR1M diberikan kepada berpendapatan RM3000 ke bawah. Jika seseorang itu pendapatannya hanya melebihi sedikit dari aras RM3000 secara automatik dikategorikan sebagai golongan pertengahan sudah tentu tidak dapat menikmati apa-apa bantuan. Golongan pertengahan pastinya merasai sedikit kesusahan terutamanya yang tinggal di kawasan bandar dan mempunyai anak-anak yang ramai masih menuntut di sekolah.

Bebanan semakin terasa dan menyesakkan apabila kerajaan mengurangkan subsidi, menaikkan harga minyak petrol. Secara tidak langsung, barang-barang keperluan seperti tepung, gula  turut meningkat. Lantaran itu, membuatkan kos sara hidup semakin tinggi. Golongan pertengahan juga turut bersama golongan miskin berdikit-dikit membelanjakan wang.



Monday 21 October 2013

KEGANASAN TERHADAP WANITA DAN KANAK-KANAK



Isu Keganasan terhadap kanak-kanak dan wanita menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Hal ini semakin membimbangkan apabila keganasan yang berlaku sehinggakan menjadi penyebab kematian. Kanak-kanak dan wanita seringkali menjadi mangsa penderaan untuk melepaskan geram oleh subjek. Pelbagai bentuk keganasan yang terjadi seperti penderaan psikologi dan emosi, penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan sosial dan penderaan kewangan.
Mujurlah dengan adanya teknologi seperti CCTV dapat memudahkan menyelesaikan kes keganasan untuk dijadikan sebagai bukti rakaman. Negara kita pernah digemparkan dengan berita dalam media massa melalui laman Youtube mengenai pembantu rumah yang mendera bayi majikannya sekurangnya-kurangnya nasib mangsa terbela dan tidak dibiarkan berlanjutan sehingga parah. Tambahan lagi, yang terbaru pegawai veterinar didakwa membelasah isteri dalam lif dan dalam pada masa yang sama juga berlakunya kes yang menyayat hati yang menimpa kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun akibat didera oleh ibunya sehingga meninggal dunia.
Lazimnya, subjek melakukan keganasan tersebut berpunca daripada ketidakseimbangan tekanan mental. Subjek Keganasan yang lazimnya  mempunyai hubungan yang dekat dengan mangsa, suami isteri, ibu dan anak.   Seperti yang kita dapati daripada kes-kes yang berlaku, dunia masa kini si ibu sanggup bertindak kejam ke atas anak kandungnya sendiri. Perbuatan yang dilakukan hilang pertimbangan kewarasan dan keperimanusiaan ekoran daripada kurangnya nilai agama, moral dan sivik dalam diri individu tersebut.
Jika di peringkat global, badan pertubuhan yang prihatin terhadap keganasan wanita dan kanak- kanak ialah Women’s Aid Organisation dan UNICEF sementara  dalam negara ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kita juga mempunyai alternatif lain seperti talian Nur15999 untuk membuat aduan. Selain itu, Pusat Krisis Sehenti (PKS)  yang disediakan untuk mangsa keganasan domestik.
Keganasan wanita dan kanak-kanak merupakan suatu perbuatan jenayah dan melanggar hak asasi manusia. Kes yang berlaku seharusnya menjadi iktibar kepada kita dan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat tentang isu ini.

Saturday 28 September 2013

KAHWIN MUDA

Kahwin muda menjadi trend pada masa kini, mungkin generasi pada masa sekarang yang lebih cenderung ke arah cara Islamik sebagai suatu pendekatan untuk memudahkan mereka bergaul  dengan cara yang halal mengikut sunnah ditambah pula dengan pengaruh daripada media sosial yang turut menyumbang ke arah keinginan untuk berkahwin muda.

Hal ini demikian kerana, arus media sosial membawa tarikan besar dalam hidup anak muda melihatkan melalui idola, blogger dan rakan-rakan facebook mereka yang berkahwin awal, turut dipaparkan melalui post-post dalam facebook dan blog beserta gambar-gambar menonjolkan kemesraan, kebahagiaan yang dikecapi mereka setelah bergelar suami isteri.

Namun,  persiapan utama yang perlu dibekalkan bagi bakal pasangan suami isteri muda adalah matang dan sabar dalam menempuh alam perkahwinan kerana Imam Ghazali pernah berkata tempoh yang paling lama manisnya merasa bulan madu perkahwinan itu adalah selama 6 bulan. Sabar apabila berdepan dengan masalah. Contohnya, masalah kewangan yang merupakan salah satu punca utama penceraian.

Alam berumah tangga ini bukan hanya sekadar untuk berseronok malah meletakkan seseorang itu untuk memikul beban tanggungjawab dengan niat untuk membina sebuah institusi keluarga berlandaskan syariat Islam. Bukan mudah untuk membina ikatan perkahwinan yang membabitkan  pasangan suami isteri perlu sedar mereka perlu...
  • bijak menguruskan kewangan dan perbelanjaan. Jika kewangan belum kukuh dinasihatkan agar membuat perancangan keluarga kerana kos sara hidup semakin tinggi.
  • bijak menguruskan masa, dan komitmen; Suami isteri perlu bertolak ansur dalam mengemudi bahtera rumah tangga kerana sesetengah pasangan muda yang masih belajar terpaksa menangguhkan sementara pengajian mereka kerana kekangan masa untuk mengasuh anak dan tidak mampu untuk mampu untuk membahagikan masa antara pelajaran ataupun tugas dan hal rumah tangga.
  • banyak berkorban; masa bersuka ria bersama rakan-rakan terhad kerana banyak dihabiskan dengan keluarga.  
  • berkahwin bukan sahaja dengan pasangan kita sahaja malah diibaratkan berkahwin dengan keluarganya.  # doalah semoga dia datang dari keluarga baik-baik.
  • matang dalam mengendalikan hal rumah tangga dan membuat keputusan bagi menyelesaikan masalah.  
Maka,  setiap pasangan perlu membuat persediaan dari segi mental dan fizikal sebelum ke gerbang perkahwinan yang penuh dengan cabaran.

#http://arahhidup.wordpress.com/2013/04/